Kijang Baham Singa
Jadual yang padat tidak menghalang finalis piala FA, Kelantan untuk membenam LionsXII di Kota Bharu malam tadi. Tiga gol dalam tempoh 20 minit terakhir memberikan tiga mata penuh buat skuad The Red Warriors dan memotong jarak dengan pendahulu liga itu kepada dua mata. Kelantan juga masih mempunyai tiga perlawanan kurang daripada Singapura.
Kelantan dihadiahkan sepakan penalty pada minit keempat lagi namun Norshahrul gagal memanfaatkannya. Perlawanan menarik disajikan kedua-dua pasukan dengan hantaran dan corak permainan kemas. Singapura juga nyaris mendapat gol awal namun Khairul Fahmi bertindak pantas untuk menafikan gawangnya dibolosi.
Perlawanan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan biarpun kedua-dua pasukan saling mengasak.
Bersambung babak kedua, perlawanan sedikit perlahan dan nampak akan berkesudahan seri tanpa jaringan. Kemasukan Indra yang menggantikan Nurul Azwan Roya memberi sedikit aksi berbeza apabila corak serangan mula berbeza. Gol kelantan hadir juga pada minit ke 73 apabila bola hantaran Norshahrul Idlan disudahkan dengan sepakan gunting oleh S Chanthuru. Norfarhan menambah gol Kelantan empat minit kemudian hasil gerakan cantik melalui hantaran mengelirukan Badri.
Kelantan melabuhkan tirai jaringan pada minit ke-85 menerusi jaringan Rizal Fahmi Abdul Rosid melalui rembatan padu dari luar kota penalti.
Keputusan perlawanan lain:
Terengganu 2 – perak 2
Sabah 1 – Felda United 0.

















