Piala Suzuki AFF 2010 – Malaysia Cipta Sejarah
Malaysia menamatkan penantian 14 tahun untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2010. Ternyata provokasi dan serangan demi serangan sebelum perlawanan sedikitpun tidak menganggu anak didik Rajagobal untuk mempertahankan kelebihan aggregate 3 0.
Nyata pemain-pemain Malaysia menutup suara-suara sumbang segelintir penyokong Indonesia yang menafikan kemenangan di Stadium Bukit Jalil lalu. Dakwa mereka kemenangan Malaysia 26 Disember lalu hasil bantuan laser dan juga bomoh.
Indonesia turun dengan misi sukar untuk menterbalikkan defisit 3 gol. Mereka mula mengasak seawal sepak mula. Hasilnya minit ke 18 mereka dihadiahkan sepakan penalti namun gagal disempurnakan oleh kapten mereka, Firman Utina. Khairul Fahmi sekali lagi menampilkan aksi bergaya untuk menyelamatkan sepakan penalti itu.
Separuh masa pertama serangan bertali arus tetapi Khairul Fahmi muncul watak utama dalam menafikan deretan peluang barisan serangan Indonesia. Indonesia sekali lagi hampir memperolehi gol apabila tandukan penyerang Indonesia diselamatkan atas garisan dan terkena palang sebelum melantun keluar. Tindakan susulan Christian Gonzalez selepas itu juga sedikit tersasar keluar.
Gelora Bung Karno berhenti bergelora seketika diminit ke 53 apabila Safee Sali mempamerkan biaa sebenar seorang penyerang apabila merembat kencang menewaskan Markus untuk memberikan bekal selesa buat Malaysia.
Indonesia terus meningkatkan serangan demi serangan hasilnya minit ke 71 mereka memperolehi gol pertama hasil jaringan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha yang mudah menolak masuk apabila tampanan Khairul Fahmi jatuh betul-betul dikaki beliau. Kealpaan benteng pertahanan menghadiahkan gol pertama kepada Indonesia.
Khairul Fahmi sekali lagi tertewas untuk gol ke 2 Indonesia minit ke 81 apabila Muslim Ahmad tertanduk ke gawang sendiri dalam cubaan mengeluarkan bola rembatan dari penyerang Indonesia.
Walaupun tewas 2-1 pasukan Harimau Malaya berjaya merangkul gelaran pertama Piala Suzuki AFF buat kali pertama dan menafikan segala tohmahan liar dan tidak berasas sesetengah pihak. Kejayaan Malaysia ini juga menghadiahkan kekalahan keempat Indonesia di perlawanan akhir. Sekalung tahniah ke atas skuad muda K Rajagobal yang mempamerkan aksi matang untuk bergelar raja bolasepak Asia Tenggara tahun 2010. Tahun 2010 ditutup manis hasil kejayaan bersejarah ini.
Sementara itu Safee Sali muncul penjaring terbanyak kejohanan dan kapten Indonesia, Firman Utina terpilih sebagai pemain paling bernilai.
Tahniah untuk jurulatih K.Rajagobal dan semua barisan pemain-pemain walaupun pada awalnya mereka langsung tidak diletakkan harapan untuk menjuarai kejohanan ini. Teruskan usaha untuk melangkah lebih jauh bagi memertabatkan mutu bolasepak Malaysia. Kejayaan ini membangkitkan ghairah peminat bolasepak Malaysia.







