
Kelantan muncul juara baru Piala Sumbangsih apabila menewaskan Selangor 2 0 dalam perlawanan menarik di Shah Alam. Walaupun ramai pemain bintang mereka musim lalu telah berhijrah namun gandingan pemain-pemain baru mereka menunjukkan prestasi yang menarik.
Kelantan yang memburu piala ketiga berturut-turut nampak cuba merealisasikannya apabila mengawal permainan dari awal babak pertama lagi. Hasilnya mereka mendapat tendangan percuma seawal minit pertama apabila Idlan dijatuhkan betul-betul di luar garisan gol. Namun sepakan Badri Radzi sedikit tersasar.
Asakan bertali arus di awal-awal permainan menghasilkan penalti untuk Kelantan apabila pemain pertahanan Selangor, Mohd Razman Roslan menarik penyerang Kelantan Nurul Azuan Roya dari belakang dan pemain paling berharga musim lalu, Norshahrul tidak mengsia-siakan peluang tersebut untuk meletak Kelantan 1 0 hanya tujuh minit permainan berlangsung. Kelantan sekali lagi mendapat peluang apabila tendangan percuma Danial dari luar kotak penalti ditepis Iqbal yang lebih bersedia kali ini.
Selangor mendapat peluang terbaik mereka apabila tandukan kebelakang Amri berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi namun berjaya ditanduk keluar oleh Shakir Shaari untuk menafikan peluang terbaik Selangor.
Permainan yang disambung pada separuh masa kedua menyaksikan pasukan Selangor lebih banyak mengawal permainan namun gagal menembusi benteng pertahanan Kelantan yang bertindak baik mengekang penyerang terbaik Negara ketika ini, Safee Sali. Safee nyaris memberi gol penyamaan apabila tandukan beliau terkena palang gol di mana Khairul Fahmi sudah pun tertewas.
Insiden yang tidak mahu dilihat terjadi juga apabila ada segelintir penyokong membaling objek ke padang disamping dentuman mercun turut mengegakkan stadium. Pengadil perlawanan Yusof Karim terpaksa memberhentikan perlawanan kira-kira lima minit lebih bagi menenangkan keadaan stadium yang semakin panas.
Minit ke 72 menyaksikan Kelantan memperolehi gol kedua mereka melalui sepakan percuma cantik dari Piya yang berjaya memperdayakan Iqbal yang salah percaturan dan bola mencecah jarring untuk memberi bekal selesa kepada Kelantan untuk menamatkan permainan. Kelantan berjaya membawa pulang piala terbaru mereka ke dalam almari koleksi pasukan berkenaan.
Kunci kejayaan pasukan Kelantan adalah terletak kepada kerjasama pasukan yang begitu baik disamping jentera tengah mereka berfungsi bagi membantu menyerap asakan dan membuat serangan. Shakir Shaari dan Badri dilihat menjadi nadi utama pasukan Kelantan dan kegagalan Hardi, Syafiq dan Amri menjenterai bahagian tengah menjadi punca kegagalan Selangor meraih kejayaan. Tiga tonggak Selangor ini dilihat gagal bermain baik seperti perlawanan terdahulu.
Penjaga gol Kelantan yang juga penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi dinamakan pemain terbaik perlawanan meneruskan aksi cemerlang beliau bersma-sama pasukan negara. The Red Warriors menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama.